SEJARAH PENUBUHAN HEAR ME

Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me) ditubuhkan pada 23 Jun 2015 oleh golongan ibu yang mempunyai anak yang didiagnos masalah pendengaran dan memakai alat bantu dengar (hearing aid), implan koklea (CI) dan Bone Conductor (BAHA). Cetusan awal penubuhan persatuan ini bermula dengan interaksi sebilangan kecil golongan ibu di Facebook pada 2011. Peluang interaksi sesama ibubapa yang senasib telah membawa permuafakatan kepada penubuhan sebuah persatuan yang dikenali sebagai Hear Me. Persatuan Hear Me mula bergerak aktif sejak penubuhannya dan kini telah memiliki ahli seramai 128 orang ahli di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Memandangkan keahlian yang semakin bertambah serta untuk memudahkan capaian interaksi antara ibubapa, Persatuan Hear Me telah menjadikan Whatsapp sebagai platform utama perbincangan antara ibubapa.

Persatuan Hear Me bukan sahaja menyediakan platform perbincangan untuk ibubapa tetapi turut memainkan peranan dalam merapatkan hubungan antara ahli persatuan dengan golongan profesional melalui kolaborasi dalam program yang dianjurkan. Kolaborasi dengan golongan profesional sangat penting dalam memastikan ahli persatuan mendapat ilmu dan panduan daripada mereka yang lebih arif dalam isu masalah pendengaran.

Raised Image
Raised Image
Raised Image

PENGANJURAN PELBAGAI PROGRAM

Persatuan Hear Me juga menganjurkan pelbagai program seperti ceramah, bengkel, kelas terapi pertuturan, program keramaian seperti Majlis Berbuka Puasa, Majlis Rumah Terbuka dan program lawatan serta melancarkan aktiviti kutipan sumbangan sama ada untuk kelangsungan program persatuan atau sebagai mewakili ahli yang memerlukan dana sumbangan untuk membiayai kos alat pendengaran.

Program-program yang dianjurkan bukan sahaja untuk mendidik dan memotivasikan ibubapa dalam membesarkan anak-anak OKU tetapi juga untuk mengiktiraf kepentingan kerjasama dengan golongan profesional. Malah, Persatuan Hear Me aktif dalam menyebarkan kesedaran awam dengan membuka booth serta menjalinkan jaringan kerjasama dengan media sebagai langkah untuk meluaskan lagi usaha mendidik masyarakat tentang isu masalah pendengaran.