Masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak boleh terjadi sejak lahir lagi mahupun secara tiba-tiba. Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak memainkan peranan penting untuk peka dalam mengenalpasti tanda-tanda masalah pendengaran. Pengesanan awal amat penting kerana intervensi awal lazimnya memberi keputusan yang lebih baik. 

Antara tanda-tanda masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak;

  • Tidak memberi respon terhadap bunyi kuat
  • Tidak memberi respon ketika dipanggil
  • Kerap bercakap dengan kuat
  • Menonton televisyen dengan nada yang kuat
  • Mengadu sakit telinga atau keluar nanah dari telinga
  • Mempunyai kelewatan dalam perkembangan  pertuturan

Tahap perkembangan pertuturan yang normal boleh dirujuk di rantaian ini dari muka surat 27-30, http://www.mpaweb.org.my/file_dir/6549703650eae1487f6fb.pdf

  • Kerap meminta pengulangan ketika berbual
  • Berkhayal atau tidak memberi tumpuan terutama ketika di dalam kelas

Masalah pendengaran mengakibatkan kanak-kanak cepat hilang tumpuan kerana mereka menggunakan tenaga yang lebih berbanding kanak-kanak normal untuk memberi tumpuan.

  • Elak berkomunikasi dan bersosial bersama rakan-rakan

Setiap kanak-kanak mempunyai tanda-tanda masalah pendengaran yang berbeza. Sekiranya anda mendapati anak-anak anda mempunyai tanda-tanda diatas adalah dinasihatkan supaya membawa anak anda berjumpa audiologis/ pakar pendengaran untuk pemeriksaan yang menyeluruh.











KESAN MASALAH PENDENGARAN TERHADAP KANAK-KANAK

Masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak akan mengakibatkan gangguan dalam perkembangan pertuturan dan pembelajaran mereka meskipun mereka hanya mempunyai masalah pendengaran tahap ringan dan sederhana. Menurut Persatuan Pendengaran dan Pertuturan Amerika, mereka mengklasifikasikan kesan masalah pendengaran tehadap kanak-kanak dalam 4 aspek;

1. Kelewatan dalam perkembangan skil komunikasi yang melibatkan pertuturan dan pembelajaran Bahasa

Secara spesifiknya, masalah pendengaran lazimnya memberi kesan terhadap bilangan perbendaharaan kata (vocabulary), struktur ayat dan cara pertuturan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran kebiasaanya mempunyai bilangan perbendaharaan yang terhad. Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan/intervensi, jurang perbezaan dengan perkembangan normal dari segi bilangan perbendaharaan akan semakin besar. Struktur ayat mereka juga lebih pendek berbanding dengan perkembangan normal. Sesetengah kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran akan mempunyai masalah pelat. Hal ini kerana, masalah pendengaran menyebabkan mereka tidak dapat mendengar sesetengah fonem huruf.

2. Kelewatan dalam pembelajaran bahasa akan memberi kesan terhadap proses pembelajaran secara umum dan kemudian memberi impak terhadap prestasi akademik

Walaubagaimanapun, komitmen dan kesungguhan ibu bapa dan guru-guru dalam proses pembelajaran adalah perkara paling penting dalam pencapaian akademik kanak-kanak walaupun setelah mereka menerima intervensi. 


3. Skil komunikasi yang terhad mengakibatkan kanak-kanak mengelak untuk bersosial


4. Kesan-kesan diatas seterusnya mengurangkan skop peluang kerjaya

Namun begitu, masyarakat Malaysia pada masa ini bersikap lebih terbuka dalam menerima golongan yang mempunyai masalah pendengaran untuk bekerja, malahan ada di antara mereka mempunyai kerjaya dalam bidang perguruan dan professional.  


Secara keseluruhannya, masalah pendengaran membawa impak besar terhadap perkembangan kanak-kanak. Pengesanan masalah pendengaran yang awal amat penting supaya kanak-kanak menerima intervensi lebih awal. Intervensi awal lazimnya memberi keputusan yang lebih baik. Namun begitu, sokongan dan kerjasama yang baik antara ahli terapi, ibu bapa dan masyarakat sekeliling menjadi tunjang utama dalam keberkesanan intervensi yang diterima.

Tags : masalah pendengaran medikal kesan simptom akibat

Artikel Yang Berkaitan